Skip to main content

Pertunangan, Hari Bahagia...




Hari-hari berlalu yang dilewati seakan-akan sudah bertahun lamanya, namun yang perlu diakui ialah ianya baru beberapa minggu lalu. Ya, hanya beberapa minggu lalu. Berita itu aku sambut dengan hati yang diusahakan untuk berlapang dada.

Benar, aku berusaha berlapang dada. Terkadang, terasa nusrah (pertolongan) Illahi begitu hampir saat kita benar-benar berada di tepi tebing, menunggu saat untuk tergelincir jatuh ke dalam gaung. Maha Suci Allah yang mengangkat aku, meletakkan aku kembali di jalan tarbiyah dan terus memimpinku melangkah dengan tabah. 

Aku hanya seorang hamba. Tiada kelebihan yang teristimewa, tidak juga punya apa-apa yang begitu menonjol. Jalanku juga menggunakan dua kaki, lihatku juga menggunakan dua mata, sama seperti manusia lain yang menumpang di bumi Allah ini. Aku tidak buta, tidak juga tuli mahupun bisu. Aku bisa melihat dengan sepasang mata pinjaman Allah, aku bisa mendengar dengan sepasang telinga pinjaman Allah juga aku bisa bercakap dengan lidahku yang lembut tidak bertulang sama seperti manusia lain. 

Aku bukan seperti bondanya Sheikh Abdul Qadir Al-Jailani, aku juga tidak sehebat srikandi Sayyidah Khadijah dalam berbakti, aku bukan sebaik Sayyidah Fatimah yang setia menjadi pengiring ayahanda dalam setiap langkah perjuangan memartabatkan Islam. Aku hanya seorang wanita yang sedang mengembara di bumi Tuhan. Destinasiku kelak juga sama seperti kalian ke Negeri Barzakh, yang kekal abadi. 

Sejak dari hari istimewa tersebut, ramai sahabiah yang memuji wajahku berseri dan mereka yakin benar yang aku sudah dikhitbah (bertunang) apabila melihat kedua tanganku memakai cincin di jari manis. Aku hanya tersenyum, tidak mengiyakan dan tidak pula menidakkan. Diamku bukan membuka pintu-pintu soalan yang terlalu banyak, tetapi diamku kerana aku belum mampu memperkenalkan insan itu. Sehingga kini, aku tetap setia dalam penantian. Ibu bertanyakan soalan yang sewajarnya aku jawab dengan penuh tatasusila.

"Hari menikah nanti nak pakai baju warna apa?"

Aku menjawab tenang, "Warna putih, bersih..."

"Alhamdulillah, baik insyaAllah, ibu akan usahakan dalam tempoh terdekat."

"Ibu, 4 meter sudah cukup untuk sepasang jubah. Jangan berlebihan." Ibu mengangguk perlahan.

Beberapa hari ini, aku menyelak satu per satu helaian demi helaian naskhah yang begitu menyentuh sanubari aku sebagai hamba Allah. Sukar sekali untuk aku ungkapkan perasaan yang bersarang, mahu saja aku menangis semahu-mahunya tetapi sudah aku ikrarkan, biarlah Allah juga yang menetapkan tarikhnya kerana aku akan sabar menanti hari bahagia tersebut. Mudah-mudahan aku terus melangkah tanpa menoleh ke belakang lagi. Mudah-mudahan Ya Allah. 

Sejak hari pertunangan itu, aku semakin banyak mengulang Al-Quran. Aku mahu sebelum tibanya hari yang aku nantikan itu, aku sudah khatam Al-Quran, setidak-tidaknya nanti hatiku akan tenang dengan kalamullah yang sudah meresap ke dalam darah yang mengalir di dalam tubuh. 

Mudah-mudahan aku tenang. Asy-Syifa' (penawar) aku adalah al-Quran, yang setia menemaniku dalam resah. Benar, aku sedang memujuk gelora hati. Mahu pecah jantung menanti detik pernikahan tersebut, begini rupanya rasa orang-orang yang mendahului.

"Kak, siapa tunang akak? Mesti hebat orangnya. Kacak tak?"

Aku tersenyum, mengulum sendiri setiap rasa yang singgah. Maaf, aku masih mahu merahsiakan tentang perkara itu. Cukup mereka membuat penilaian sendiri bahawa aku sudah bertunang, kebenarannya itu antara aku dan keluarga. 

"InsyaAllah, 'dia' tiada rupa tetapi sangat mendekatkan akak dengan Allah. Itu yang paling utama."

Berita itu juga buat beberapa orang menjauhkan diri dariku. Kata mereka, aku senyapkan sesuatu yang perlu diraikan. Aku tersenyum lagi. 

"Jangan lupa jemput ana pada hari pernikahan nanti, jangan lupa!"

Aku hanya tersenyum lagi untuk sekian kalinya. Apa yang mampu aku zahirkan ialah senyuman dan teruskan tersenyum. Mereka mengandai aku sedang berbahagia apabila sudah dikhitbahkan dengan 'dia' yang mendekatkan aku dengan Allah. Sahabiah juga mersa kehilanganku apabila setiap waktu terluang aku habiskan masa dengan asy-Syifa' aku, al-Quran. Ini tidak lain kerana aku mahu kalamullah meresap dalam darahku, agar ketenangan akan menyelinap dalam setiap derap nafas ku menanti hari.

"Bila enti menikah?" Aku tiada jawapan khusus. 

"InsyaAllah, tiba waktunya nanti enti akan tahu..." Aku masih menyimpan tarikh keramat itu, bukan aku sengaja tetapi memang benar aku sendiri tidak tahu bila tarikhnya.

"Jemput ana tau!" Kawanku tersenyum megah. 

"Kalau enti tak datang pun ana tak berkecil hati, doakan ana banyak-banyak!" Itu saja pesanku. Aku juga tidak tahu di mana mahu melangsungkan pernikahanku, aduh semuanya menjadi tanda tanya sendiri. Diam dan terus berdiam membuatkan ramai insan berkecil hati.

"InsyaAllah, kalian pasti akan tahu bila sampai waktunya nanti..."

Rahsiaku adalah rahsia Allah, kerana itu aku tidak mampu memberikan tarikhnya. Cuma, hanya termampu untuk menyiapkan diri sebaiknya. Untung aku, dilamar dan dikhitbah dahulu tanpa perlu menikah secara terkejut seperti orang lain. Semuanya sedaya upaya aku siapkan, baju menikahnya dan aku katakan sekali lagi kepada ibu...

"Usah berlebihan yaa..." Ibu angguk perlahan dan terus berlalu, hilang dari pandangan mata. 

"Awak, jom makan!" Kawanku mengajak. Aku tersenyum lagi. Akhir-akhir ini aku begitu pemurah dengan senyuman. 

"Tafaddal, ana puasa." Sahabiah juga semakin galak mengusik. 

"Wah, enti diet ya? Maklumlah hari bahagia dah dekat. Tarikhnya tak tetap lagi ke?"

"Bukan diet, mahu mengosongkan perut saja. Maaf, tarikhnya belum ditetapkan lagi."

Sehingga kini, aku tidak tahu bila tarikhnya yang pasti. Maafkan aku sahabat, bersabarlah menanti hari tersebut. Aku juga menanti dengan penuh debaran, moga aku bersedia untuk hari pernikahan tersebut dan terus mengecap bahagia sepanjang alam berumahtangga kelak. Doakan aku, itu sahaja.

 * * * * * * * * * * * * * * * * * *

"Tenangnya. Subhanallah. Allahuakhbar."

"Ya Allah, tenangnya..."

"Moga Allah memberkatinya..."

Allah, itu suara sahabat-sahabatku, teman-teman seperjuangan aku pada ibu. Akhirnya, aku selamat dinikahkan setelah sabar dalam penantian. Sahabiah ramai yang datang ke majlis walimah walaupun aku tidak menjemput mereka sendiri. 

Akhirnya mereka ketahui sosok 'dia' yang mendekatkan aku kepada Allah. Akhirnya, mereka kenali sosok 'dia' yang aku rahsiakan dari pengetahuan umum. Akhirnya, mereka sama-sama mengambil 'ibrah dari sosok 'dia' yang mengkhitbahku. 

Dalam sedar tidak sedar, hampir setiap malam sebelum menjelang hari pernikahanku sentiasa ada suara sayu yang menangis sayu di hening malam, dalam sujud, dalam rafa'nya pada Rabbi, dalam sembahnya pada Illahi. Sayup-sayup hatinya merintih. Air matanya mengalir deras, hanya Tuhan yang tahu. 

"Ya Allah, telah Engkau tunangkan aku tidak lain dengan 'dia' yang mendekatkan aku dengan Engkau. Yang menyedarkan aku untuk selalu berpuasa, yang menyedarkan aku tentang dunia sementara, yang menyedarkan aku tentang alam akhirat.  Engkau satukan kami dalam majlis yang Engkau redhai, aku hambaMu yang tak punya apa-apa selain Engkau sebagai sandaran harapan. Engkau Maha Mengetahui apa yang tidak aku ketahui."

Akhirnya, sahabatku bertanya kepada ibu beberapa minggu kemudian. 

"Nur bertunang dengan siapa, makcik?"

Ibu tenang menjawab,

"Dengan kematian wahai anakku. Kanser tulang yang mulanya hanya pada tulang belakang sudah merebak dengan cepat pada tangan, kaki juga otaknya. Kata doktor, dia hanya punya beberapa minggu sahaja sebelum kansernya membunuh."

"Allahu Akhbar!" Terduduk sahabatku mendengar, air matanya tak mampu ditahan. 

"Buku yang sering dibacanya itu, malam pertama."

Ibu angguk. Tersenyum lembut. 

"Ini nak, bukunya."

Senaskhah buku bertukar tangan, karangan Dr 'Aidh Abdullah Al-Qarni tertera tajuk 'Malam Pertama di Alam Kubur'.

"Ya Allah, patutlah arwah selalu menangis, saya tak tahu mak cik."

"Dan sejak dari hari 'khitbah' tersebut, selalu arwah mahu berpuasa. Katanya mahu mengosongkan perut, mudah untuk dimandikan."

Sahabatku masih kaku. Tiada suara yang terlontar. Matanya basah menatap kalam dari diari arwah yang diberikan oleh ibu. 

"Satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku di risik oleh Maut dan satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku sudah bertunang dengan Maut. Aku akan sabar menanti tarikhnya dengan mendekatkan diriku kepada Allah."


Aku tahu ibu akan tenang menghadapinya, kerana baginya anak adalah pinjaman dari Allah yang perlu dipulangkan apabila Allah meminta. 


*TAMAT*






Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

Bagaimana cara nak lupakan Crush?

Apa itu CRUSH? Crush bermaksud orang lelaki/perempuan (ajnabi) yang kita suka dalam diam, minat, dan ingin tahu perkembangannya dan selalu terfikir fikir tentangnya. Dia tak tahu yang kita suka dia, dalam masa yang sama kita ada hasrat untuk meluahkan perasaan padanya. Dan kita turut berharap dia mempunyai perasaan yang sama pada kita pada waktu yang kau belum mampu menghalalkannya. Kalau mcm tu 👆 yang engkau rasa, maka BERTAUBATLAH. Imam Alghazali ada  menyebut: “Aku dapati, dalam bercinta, terdapat banyak dosa besar…” Kenapa? Bayangkan, mula dengan crush, kita dah tak dapat tundukkan pandangan, stalk, usha, fikir pasal dia, bayangkan dia dan lain-lain. Bukankah itu semua dosa?! Andai kata pernah TERpandang, rasa TERpesona dengan keindahan atau perwatakannya, (mohon baca perkataan *TER* tu berulang kali), tiba-tiba rasa macam suka dalam hati, itu NORMAL. Sebab memang lumrah lelaki suka perempuan, perempuan suka lelaki, ada semacam "attraction" antara sa...

Pengalaman SMA

All began when my aged at 16 years old. Pada usia ini mungkin pelajar yang bersekolah di SMK yang bukan beraliran agama akan menggelar sebagai tahun " honeymoon year". Yelah. Tak terikat dengan mana-mana exam besar kan. Tapi. Pelajar sekolah SAM yang beraliran agama ada peperiksaan yang dipanggil Sijil Menengah Agama atau "SMA". Memang tak ada istilah "honeymoon" langsung! Deret tahun kena struggle je. Eeerrkk. Struggle ke? >.< hehe... SMA ni pulak boleh tahan mencabar. Maddah-maddah dia semua nak kena hapal sampai kasi ummphh!!! Tambah lagi semua dalam Bahasa Arab. Tauhid Feqah, Tafsir Hadith, Nahu Sorof Mutola'ah, Tarikh Islam, Alqura Hafazan. Hemm. Memang lemah lah kalau kena kat orang yang tak suka menghafal dan yang tak minat bahasa arab ni~ Macam ana. PMR sangkut kat Bahasa Arab lah. Kalau tanya ana. Ana suka menghafal? Ana akan jawab "memang taklah". Actually ana amat lemah ye bab2 menghafal ni. Siapa yang spesis macam a...

Kasih Sayang Allah S.W.T

Islam. Agama yang sempurna dan menyeluruh. Ajaran agama Islam juga adalah realisitik dengan keadaan dan kesesuaian kehiduapan manusia. Manusia. Fitrahnya ingin dicintai dan disayangi. Namun sering kali salah meletakkan rasa cinta, kasih dan sayang pada tempat yang tidak sepatutnya. Rasa cinta dan kasih kepada ibu bapa, anak, lelaki atau wanita itu adalah fitrah. Dan Islam sama sekali tidak melarang untuk mencintai kepada semua itu. Namun, fitrah itu haruslah dikawal agar tidak memudharatkan. Sebagai analoginya, makan itu juga merupakan fitrah. Seandainya kita tidak mengawal fitrah dengan memakan makanan dengan terlampau banyak, maka ia akan menyebabkan obesiti. Sama juga halnya dengan Cinta. Manusia sering menanti cinta yang tidak pasti. Sedangkan ada cinta yang telah pasti dan hakiki. Malah andai dapat kita meraih cinta ini, sudah tidak ada apa yang lagi yang dapat menggembirakan di dunia ini jika dibandingkan dengan Cinta Agung dan ganjaranNya di akhirat nanti. Cuba hitung berapa...